GARIS PANDUAN & PERATURAN RASMI PERTANDINGAN PUSH BIKE DI BAWAH KELOLAAN PUSH BIKE PRO 2026
MUKADIMAH
Garis panduan ini disediakan oleh Push Bike Pro sebagai rujukan rasmi bagi semua pertandingan push bike yang dianjurkan atau dikendalikan di bawah kelolaan Push Bike Pro.
Tujuan garis panduan ini adalah untuk memastikan setiap pertandingan dijalankan secara selamat, adil, teratur dan lancar untuk semua peserta, penjaga, pasukan serta pihak yang terlibat.
Garis panduan ini hendaklah dibaca bersama Terma & Syarat Pendaftaran, Format Pertandingan, Tentatif Rasmi dan sebarang arahan tambahan yang dikeluarkan bagi acara berkenaan.
Dengan membuat pendaftaran, peserta dan penjaga dianggap telah membaca, memahami serta bersetuju untuk mematuhi semua syarat, peraturan, keputusan rasmi dan arahan keselamatan yang ditetapkan oleh pihak penganjur.
1. SYARAT PENYERTAAN
1.1 Kelayakan Peserta
Peserta hendaklah didaftarkan mengikut syarat kategori yang telah ditetapkan oleh pihak penganjur. Kelayakan kategori boleh ditentukan berdasarkan umur, tarikh lahir, tahun kelahiran, jantina atau syarat khas bagi pertandingan berkenaan.
Penjaga hendaklah memastikan semua maklumat pendaftaran adalah tepat dan lengkap, termasuk:
- Nama penuh peserta;
- Tarikh lahir;
- Nombor MyKid atau dokumen pengenalan, jika diperlukan;
- Jantina;
- Nama panggilan;
- Nama pasukan; dan
- Kategori yang dipilih.
Permintaan pembetulan selepas format pertandingan dikeluarkan adalah tertakluk kepada kelulusan pihak penganjur dan mungkin tidak dapat dilakukan sekiranya melibatkan perubahan kategori, heat, nombor plate atau susunan pertandingan.
1.2 Pengesahan Dokumen
Bagi memastikan kelayakan peserta adalah tepat dan adil, pihak penganjur berhak meminta penjaga mengemukakan MyKid, sijil kelahiran, pasport atau dokumen pengenalan lain yang sah pada bila-bila masa sebelum atau semasa pertandingan berlangsung.
Sekiranya dokumen tidak dapat dikemukakan atau maklumat yang diberikan didapati tidak tepat, pihak penganjur berhak:
- Memindahkan peserta ke kategori yang bersesuaian;
- Membatalkan penyertaan; atau
- Tidak membenarkan peserta bertanding.
1.3 Pertukaran Peserta
Pertukaran peserta selepas pendaftaran disahkan adalah tidak dibenarkan kecuali mendapat kelulusan pihak penganjur.
Nombor plate, slot pertandingan atau pendaftaran peserta tidak boleh dipindahkan kepada individu lain tanpa kebenaran.
1.4 Kesihatan Peserta
Peserta hendaklah berada dalam keadaan sihat dan sesuai untuk menyertai aktiviti fizikal.
Penjaga hendaklah memaklumkan kepada pihak penganjur sekiranya peserta mempunyai masalah kesihatan, kecederaan, alahan atau keperluan khas yang boleh menjejaskan keselamatan sepanjang pertandingan berlangsung.
Sekiranya peserta didapati tidak sihat atau mengalami kecederaan yang boleh membahayakan diri sendiri atau peserta lain, pihak penganjur berhak untuk tidak membenarkan peserta memulakan atau meneruskan pertandingan.
1.5 Tanggungjawab Penjaga
Penjaga bertanggungjawab memastikan peserta:
- Berada dalam keadaan sihat dan bersedia untuk bertanding;
- Didaftarkan dalam kategori yang betul;
- Menggunakan basikal yang memenuhi syarat pertandingan;
- Memakai pakaian dan peralatan keselamatan yang lengkap;
- Hadir mengikut jadual yang ditetapkan; dan
- Mematuhi arahan pihak penganjur, Ketua Enforcer serta kru bertugas.
Pihak penganjur akan mengambil langkah keselamatan yang munasabah bagi memastikan pertandingan dijalankan dengan selamat, teratur dan adil.
1.6 Persetujuan Penyertaan
Dengan membuat pendaftaran, penjaga mengesahkan bahawa semua maklumat yang diberikan adalah benar dan tepat.
Penjaga juga dianggap telah membaca, memahami dan bersetuju untuk mematuhi semua garis panduan, peraturan pertandingan, arahan keselamatan serta keputusan rasmi yang dibuat oleh pihak penganjur.
2. KELAYAKAN BASIKAL
2.1 Jenis dan Saiz Basikal Dibenarkan
Hanya push bike atau balance bike tanpa pedal dibenarkan menyertai pertandingan.
Basikal hendaklah direka untuk kegunaan kanak-kanak serta berada dalam keadaan baik dan selamat digunakan.
Saiz roda yang dibenarkan hanyalah:
- 10 inci bagi Pushbike Minama; dan
- 12 inci bagi Pushbike Standard.
Semua jenama dan model diterima selagi memenuhi spesifikasi serta syarat keselamatan yang ditetapkan.
Basikal yang diubah suai daripada basikal berpedal boleh ditolak sekiranya perubahan tersebut dianggap tidak selamat atau tidak sesuai digunakan dalam pertandingan push bike.
2.2 Keadaan Frame, Fork dan Struktur Basikal
Basikal mestilah berada dalam keadaan baik, termasuk:
- Frame tidak retak, patah atau mengalami kerosakan struktur;
- Fork tidak bengkok, longgar atau rosak;
- Handlebar dan stem dipasang dengan kukuh;
- Seat tidak longgar atau mudah berubah kedudukan;
- Roda berpusing dengan baik; dan
- Tiada komponen yang boleh membahayakan peserta atau orang lain.
2.3 Handlebar dan Komponen Basikal
Lebar maksimum handlebar yang dibenarkan ialah 470 mm termasuk grip penuh.
Handlebar hendaklah:
- Dipasang dengan kemas dan kukuh;
- Mempunyai grip yang lengkap;
- Tidak mempunyai hujung terbuka atau tajam;
- Tidak longgar atau rosak; dan
- Tidak melebihi ukuran maksimum yang dibenarkan.
Semua bolt, skru atau komponen yang terdedah hendaklah dipasang dengan kemas serta mempunyai pelindung sekiranya boleh mendatangkan risiko kecederaan.
Seat boleh dilaraskan mengikut keselesaan peserta tetapi hendaklah dipasang dengan kukuh dan selamat.
2.4 Sistem Brek dan Footrest
Sistem brek tidak diwajibkan bagi pertandingan push bike.
Sekiranya basikal mempunyai sistem brek, brek tersebut hendaklah berfungsi dengan baik, dipasang dengan kemas dan tidak mempunyai kabel atau komponen tajam yang boleh membahayakan peserta.
Footrest dibenarkan selagi dipasang dengan kukuh, tidak longgar dan tidak mempunyai bucu tajam atau bahagian yang boleh mencederakan peserta lain.
2.5 Modifikasi dan Aksesori
Pengubahsuaian basikal dibenarkan selagi tidak menjejaskan kestabilan basikal, keselamatan peserta atau keselamatan peserta lain.
Aksesori berikut tidak dibenarkan sekiranya longgar, tajam atau mudah tercabut:
- Loceng;
- Lampu tambahan;
- Hiasan basikal;
- Komponen yang mempunyai permukaan tajam; dan
- Aksesori yang boleh mengganggu kawalan basikal.
2.6 Tayar dan Roda
Tayar dan roda hendaklah berada dalam keadaan baik serta memenuhi syarat berikut:
- Tidak haus atau botak;
- Tidak licin;
- Bebas daripada objek tajam;
- Tidak rosak, pecah atau berubah bentuk;
- Rim tidak bengkok atau retak; dan
- Sesuai dengan permukaan trek.
Jenis tayar yang dibenarkan termasuk:
- Tayar angin;
- Tayar padat atau solid;
- Tayar foam; dan
- Tayar lain yang sesuai serta selamat digunakan.
Penganjur berhak menolak penggunaan tayar atau roda yang dianggap rosak, terlalu haus atau tidak selamat.
2.7 Nombor Plate
Nombor plate rasmi hendaklah dipasang di bahagian hadapan basikal dengan kemas serta tidak mengganggu pergerakan handlebar atau penglihatan peserta.
Nombor plate hendaklah:
- Jelas dan mudah dilihat;
- Tidak dilipat atau ditutup;
- Tidak diubah suai; dan
- Digunakan oleh peserta yang didaftarkan sahaja.
2.8 Pemeriksaan Basikal
Kru teknikal boleh menjalankan pemeriksaan basikal sebelum peserta dibenarkan memasuki kawasan pertandingan atau trek.
Pemeriksaan boleh merangkumi:
- Jenis dan saiz roda;
- Frame dan fork;
- Handlebar, stem dan grip;
- Tayar dan rim;
- Bolt dan skru;
- Seat dan footrest;
- Sistem brek, jika dipasang;
- Nombor plate; dan
- Komponen keselamatan lain.
Sekiranya terdapat masalah kecil seperti grip longgar, tayar kurang angin, bolt terdedah atau komponen yang tidak selamat, peserta boleh diberikan masa sehingga 5 minit untuk membuat pembetulan.
Pihak penganjur berhak menolak mana-mana basikal yang dianggap tidak memenuhi syarat keselamatan walaupun basikal tersebut pernah digunakan dalam pertandingan lain.
3. PAKAIAN & PERALATAN KESELAMATAN
3.1 Peralatan Keselamatan Wajib
Setiap peserta wajib memakai:
- Helmet yang sesuai dengan saiz kepala;
- Kasut sukan bertutup;
- Pelindung lutut; dan
- Pelindung siku.
Helmet hendaklah dipakai dengan betul dan tali pengikat mestilah dikunci serta diketatkan dengan kemas sepanjang peserta berada di dalam trek.
Penggunaan helmet jenis full-face dan sarung tangan jenis half-finger atau full-finger adalah digalakkan sebagai perlindungan tambahan.
3.2 Kasut Peserta
Peserta hendaklah memakai kasut sukan bertutup yang sesuai untuk berlari dan mempunyai tapak yang memberikan cengkaman yang baik.
3.3 Pakaian Peserta
Peserta digalakkan memakai:
- Baju berlengan panjang;
- Seluar panjang;
- Jersi rasmi pasukan; atau
- Pakaian sukan yang ringan dan selesa.
Pakaian hendaklah sesuai untuk pergerakan dan tidak terlalu longgar sehingga boleh tersangkut pada basikal, pintu permulaan atau peserta lain.
3.4 Barang Kemas dan Aksesori Peribadi
Peserta tidak dibenarkan memakai atau membawa barangan yang boleh mendatangkan risiko kecederaan, termasuk:
- Rantai leher yang panjang;
- Gelang atau aksesori besar;
- Barangan tajam;
- Barangan yang mudah terjatuh;
- Aksesori yang mengganggu penglihatan; atau
- Barangan yang boleh tersangkut pada basikal.
3.5 Kamera Badan atau Helmet
Kamera badan, kamera helmet atau peranti rakaman yang dipasang pada peserta atau basikal hanya dibenarkan setelah mendapat kelulusan pihak penganjur.
Peranti tersebut hendaklah dipasang dengan kukuh dan tidak mengganggu keselamatan, penglihatan atau pergerakan peserta.
3.6 Pemeriksaan Pakaian dan Peralatan Keselamatan
Sebelum memasuki trek, kru bertugas boleh membuat pemeriksaan terhadap:
- Helmet dan tali pengikat;
- Kasut;
- Pelindung lutut dan siku;
- Pakaian peserta;
- Sarung tangan, jika digunakan;
- Barang kemas dan aksesori; serta
- Kamera atau peranti rakaman, jika dipasang.
Sekiranya peserta tidak memenuhi syarat yang ditetapkan, peserta boleh diberikan masa sehingga 5 minit untuk membuat pembetulan.
3.7 Pemeriksaan Keselamatan Akhir
Sebelum peserta dibenarkan memasuki Waiting Zone, Starting Zone atau trek pertandingan, pihak penganjur boleh menjalankan pemeriksaan keselamatan akhir.
| Bahagian Diperiksa | Perkara Utama |
|---|---|
| Basikal | Frame, fork, handlebar, grip, rim, tayar, seat, bolt, footrest dan nombor plate. |
| Helmet | Saiz sesuai, keadaan baik dan tali dikunci dengan kemas. |
| Pelindung | Pelindung lutut dan siku dipakai dengan betul. |
| Kasut | Kasut bertutup, sesuai untuk berlari dan tidak licin. |
| Pakaian | Tidak terlalu longgar dan tidak mempunyai aksesori berbahaya. |
4. PENGESAHAN KEHADIRAN PESERTA
4.1 Waktu Check-in
Peserta hendaklah membuat pengesahan kehadiran mengikut masa yang dinyatakan dalam tentatif rasmi pertandingan.
Kaunter pendaftaran lazimnya dibuka sekurang-kurangnya 30 minit sebelum kategori bermula.
Peserta hendaklah selesai membuat check-in sekurang-kurangnya 15 minit sebelum perlumbaan pertama kategori tersebut.
4.2 Semakan Maklumat Peserta
Semasa check-in, pihak penganjur boleh membuat semakan terhadap:
- Nama peserta;
- Kategori yang disertai;
- Tarikh lahir atau tahun kelahiran;
- Nombor plate;
- Nama pasukan;
- Basikal; dan
- Pakaian serta peralatan keselamatan.
Sebarang kesilapan hendaklah dimaklumkan kepada urus setia dengan segera sebelum kategori bermula.
4.3 Waiting Zone
Penjaga bertanggungjawab memastikan peserta berada di Waiting Zone sekurang-kurangnya 5 minit sebelum pusingan bermula.
Nama atau nombor plate peserta akan dipanggil oleh emcee atau kru sebelum peserta diarahkan masuk ke kawasan grid.
Sekiranya peserta tidak hadir semasa panggilan dibuat, kru boleh memberikan tempoh menunggu antara 2 hingga 5 minit berdasarkan keadaan pertandingan dan budi bicara pihak penganjur.
Peserta yang diberikan status DNS tidak akan dipindahkan ke heat atau pusingan lain, kecuali berlaku kesilapan rasmi atau gangguan operasi oleh pihak penganjur.
4.4 Persediaan Peserta
Penjaga hendaklah menyelesaikan semua urusan peserta lebih awal, termasuk:
- Ke tandas;
- Makan dan minum;
- Pertukaran pakaian;
- Pemeriksaan basikal;
- Pemakaian helmet dan pelindung; serta
- Persediaan mental peserta.
5. FORMAT PERTANDINGAN
5.1 Penentuan Format
Format pertandingan akan ditentukan berdasarkan jumlah peserta bagi setiap kategori, masa yang diperuntukkan, keadaan lokasi dan keperluan operasi acara.
Antara pusingan yang boleh digunakan ialah:
- Heat – pusingan awal;
- Repechage – peluang kedua bagi peserta yang belum layak secara terus;
- Suku Akhir – pusingan kelayakan ke Separuh Akhir;
- Separuh Akhir – pusingan kelayakan ke Final atau Selection;
- Selection – pusingan pemilihan ke Final A atau Final B;
- Final A / Final Elite – penentuan kedudukan utama; dan
- Final B / Akhir Pencabar – penentuan kedudukan seterusnya.
5.2 Peluang Perlumbaan
Format pertandingan akan disusun supaya setiap peserta mendapat peluang perlumbaan yang munasabah berdasarkan jumlah penyertaan dan struktur kategori.
Sekiranya format membenarkan, setiap peserta akan diberikan sekurang-kurangnya dua kali peluang perlumbaan.
Jumlah pusingan sebenar bagi setiap peserta boleh berbeza bergantung pada keputusan Heat, Repechage, Suku Akhir, Separuh Akhir atau Selection.
5.3 Format Rasmi Kategori
Format rasmi bagi setiap kategori akan diumumkan melalui saluran rasmi, dokumen format pertandingan atau semasa taklimat.
Pihak penganjur berhak menetapkan:
- Jumlah peserta dalam setiap heat;
- Jumlah peserta yang layak ke pusingan seterusnya;
- Bilangan pusingan yang perlu dilalui;
- Kaedah penentuan ke Final A atau Final B; dan
- Kaedah penentuan kedudukan akhir.
5.4 Perubahan Format
Pihak penganjur berhak mengubah format sekiranya berlaku:
- Perubahan jumlah peserta;
- Peserta tidak hadir;
- Kelewatan jadual;
- Keadaan cuaca;
- Gangguan teknikal;
- Perubahan tapak; atau
- Faktor keselamatan.
6. SUSUNAN HEAT, GRID & NOMBOR PLATE
6.1 Susunan Heat
Susunan heat akan ditetapkan oleh pihak penganjur selepas pendaftaran ditutup dan senarai peserta disahkan.
Susunan heat boleh dibuat berdasarkan:
- Nombor plate;
- Umur peserta;
- Jumlah peserta dalam kategori;
- Susunan yang ditetapkan oleh sistem atau urus setia; dan
- Keperluan format pertandingan.
6.2 Susunan Grid Permulaan
Susunan grid permulaan akan ditentukan oleh pihak penganjur mengikut pusingan pertandingan.
Antara kaedah yang boleh digunakan ialah:
- Nombor plate;
- Susunan heat yang telah ditetapkan; dan
- Keputusan pusingan sebelumnya.
Peserta hendaklah masuk ke petak yang telah ditetapkan oleh kru dan tidak dibenarkan memilih atau menukar petak sendiri.
6.3 Nombor Plate
Setiap peserta akan diberikan nombor plate rasmi berdasarkan kaedah yang ditetapkan oleh pihak penganjur.
Bagi kategori yang menggunakan susunan mengikut tarikh lahir, peserta yang lahir lebih awal akan diberikan nombor plate yang lebih besar, manakala peserta yang lahir kemudian akan diberikan nombor plate yang lebih kecil.
Nombor plate hendaklah:
- Dipasang di bahagian hadapan basikal;
- Jelas dan mudah dilihat;
- Tidak dilipat, ditutup atau diubah suai;
- Digunakan oleh peserta yang didaftarkan sahaja; dan
- Dikekalkan sepanjang pertandingan kecuali diarahkan sebaliknya.
6.4 Persediaan di Pintu Permulaan
Peserta hendaklah berada sepenuhnya di dalam petak permulaan yang telah ditetapkan.
Peserta hendaklah memastikan:
- Roda hadapan menyentuh atau berada rapat pada pintu permulaan mengikut arahan kru;
- Kedua-dua roda berada di atas permukaan trek;
- Basikal berada dalam kedudukan lurus dan terkawal;
- Tubuh peserta berada dalam keadaan stabil; dan
- Peserta bersedia menunggu isyarat mula.
Peserta tidak dibenarkan bergerak keluar dari petak atau memulakan tolakan sebelum pintu permulaan dibuka atau isyarat mula diberikan.
6.5 Kehadiran Penjaga di Kawasan Permulaan
Seorang penjaga sahaja dibenarkan membantu peserta membuat persediaan di kawasan yang telah ditetapkan.
Sebelum arahan bersedia diberikan, penjaga boleh:
- Membetulkan helmet dan peralatan keselamatan;
- Memastikan peserta berada di petak yang betul;
- Membantu menstabilkan basikal; dan
- Memberikan arahan ringkas kepada peserta.
Apabila arahan “bersedia” diberikan, penjaga hendaklah:
- Tidak lagi menyentuh peserta atau basikal;
- Berundur dari pintu permulaan;
- Tidak menghalang petak peserta lain; dan
- Mematuhi kedudukan yang diarahkan oleh kru.
6.6 False Start
Sekiranya peserta bergerak lebih awal sebelum pintu dibuka atau isyarat mula diberikan, keadaan tersebut boleh dianggap sebagai False Start.
Ketua Enforcer atau pihak penganjur akan menentukan sama ada perlumbaan diteruskan, dihentikan atau dimulakan semula.
Kesalahan ringan boleh diberikan amaran lisan. Kesalahan berulang boleh menyebabkan amaran rasmi, penurunan kedudukan, arahan keluar daripada pusingan atau DQ.
6.7 Gangguan Teknikal Pintu Permulaan
Perlumbaan boleh dimulakan semula sekiranya berlaku:
- Pintu permulaan gagal dibuka;
- Pintu terbuka secara tidak sekata;
- Kerosakan sistem permulaan;
- Kesilapan isyarat atau audio; atau
- Gangguan teknikal yang menjejaskan keadilan perlumbaan.
Sekiranya restart dilakukan kerana gangguan teknikal, tiada tindakan akan dikenakan kepada peserta.
7. PERATURAN & KESALAHAN SEMASA PERLUMBAAN
7.1 Peraturan Asas
Peserta hendaklah berlumba mengikut arah dan laluan trek yang telah ditetapkan.
Peserta hendaklah:
- Mengawal basikal dengan baik;
- Menghormati ruang peserta lain;
- Mematuhi sempadan trek;
- Tidak mendapatkan kelebihan melalui jalan pintas; dan
- Mematuhi arahan kru serta Ketua Enforcer.
7.2 Lorong Pelepasan
Setiap petak permulaan boleh mempunyai garisan lorong atau zon pelepasan yang ditandakan pada permukaan trek.
Selepas pintu dibuka, peserta hendaklah kekal dalam lorong masing-masing sehingga melepasi garisan lorong atau zon pelepasan yang telah ditetapkan.
Peserta hanya boleh menukar laluan selepas keluar sepenuhnya daripada zon tersebut dan perubahan laluan hendaklah dilakukan dengan selamat.
7.3 Sentuhan, Himpitan & Blocking
Sentuhan ringan yang berlaku secara tidak sengaja boleh berlaku dalam perlumbaan push bike dan tidak semestinya dianggap sebagai satu kesalahan.
Tindakan akan dipertimbangkan sekiranya peserta:
- Menghimpit peserta lain secara agresif;
- Menghalang laluan secara sengaja;
- Menukar arah secara berbahaya;
- Menolak atau menarik peserta lain; atau
- Melakukan tindakan yang memberikan kelebihan tidak adil.
7.4 Overshoot & Masuk Semula ke Trek
Sekiranya peserta tersasar atau overshoot di selekoh, peserta hendaklah masuk semula ke trek secara terkawal dan selamat.
Peserta tidak dibenarkan:
- Masuk semula secara mengejut sehingga menyebabkan perlanggaran;
- Menghalang peserta yang sedang berada di dalam trek;
- Mengambil jalan pintas; atau
- Mendapatkan kelebihan kedudukan melalui laluan luar trek.
7.5 Kon, Palang & Sempadan Trek
Peserta hendaklah menghormati semua kon, palang, pita, garisan atau penghadang yang digunakan sebagai sempadan trek.
Melanggar kon atau penghadang secara tidak sengaja tidak semestinya dianggap sebagai satu kesalahan.
Walau bagaimanapun, peserta lain tidak dibenarkan menggunakan ruang yang terbuka akibat kon atau penghadang yang teralih sebagai jalan pintas.
Sengaja merempuh, mengalih atau memotong halangan untuk mendapatkan kelebihan adalah satu kesalahan.
7.6 Tindakan Berbahaya
Menoleh ke belakang tidak dianggap sebagai kesalahan dengan sendirinya.
Namun, menoleh sambil sengaja menghimpit, menghalang, menukar arah secara mengejut atau membahayakan peserta lain boleh dikenakan tindakan.
7.7 Peserta Terjatuh
Sekiranya peserta terjatuh atas kesilapan sendiri selepas permulaan yang sah, perlumbaan akan diteruskan tanpa ulangan.
Peserta hendaklah diberikan peluang untuk bangun dan meneruskan perlumbaan sendiri.
Penjaga tidak dibenarkan memasuki trek untuk membantu kecuali diarahkan oleh Ketua Enforcer, kru atau petugas perubatan.
7.8 Zon Penamat
Dalam zon kira-kira 2 hingga 5 meter terakhir sebelum garisan penamat, peserta hendaklah mengekalkan laluan masing-masing selagi keadaan membenarkan.
Peserta tidak dibenarkan menukar laluan secara sengaja sehingga menghimpit, menghalang atau menyebabkan bahaya kepada peserta lain.
Sentuhan kecil akibat persaingan biasa di garisan penamat tidak semestinya dianggap sebagai satu kesalahan.
7.9 Keluar dari Trek
Peserta yang keluar dari trek secara tidak sengaja hendaklah masuk semula pada kawasan yang selamat dan sedekat mungkin dengan lokasi peserta keluar.
Peserta tidak dibenarkan masuk semula jauh di hadapan atau menggunakan keadaan tersebut untuk memotong peserta lain.
7.10 Campur Tangan Penjaga
Sebarang bantuan atau campur tangan penjaga yang memberikan kelebihan kepada peserta adalah tidak dibenarkan.
Ini termasuk memasuki trek, menolak basikal, menarik peserta, menghalang peserta lain atau membantu peserta meneruskan perlumbaan tanpa arahan kru.
7.11 Tindakan Disiplin
Tindakan akan ditentukan berdasarkan tahap kesalahan, kesan terhadap peserta lain, unsur sengaja serta sama ada kesalahan dilakukan berulang kali.
Antara tindakan yang boleh dikenakan ialah:
- Teguran;
- Amaran lisan;
- Amaran rasmi;
- Arahan pembetulan;
- Penurunan kedudukan;
- DNF – Did Not Finish;
- DQ – Disqualified; atau
- Pembatalan keputusan.
7.12 Penentuan Kesalahan
Keputusan berkaitan kesalahan boleh dibuat berdasarkan pemerhatian Ketua Enforcer, laporan kru dan rakaman rasmi sekiranya tersedia.
Rakaman peribadi boleh dilihat sebagai rujukan tambahan, tetapi tidak semestinya diterima sebagai bukti rasmi.
8. DNS, DNF, DQ & RESTART
8.1 DNS – Did Not Start
Status DNS – Did Not Start diberikan kepada peserta yang tidak memulakan atau tidak dibenarkan memulakan sesuatu pusingan perlumbaan.
Antara keadaan yang boleh menyebabkan DNS ialah:
- Tidak hadir di Waiting Zone atau Starting Zone selepas tempoh menunggu yang diberikan;
- Tiba selepas perlumbaan dimulakan;
- Gagal menyelesaikan proses check-in dalam tempoh yang ditetapkan;
- Tidak memakai peralatan keselamatan yang lengkap;
- Menggunakan basikal yang gagal pemeriksaan keselamatan; atau
- Tidak mematuhi arahan sebelum perlumbaan bermula.
8.2 DNF – Did Not Finish
Status DNF – Did Not Finish diberikan kepada peserta yang telah memulakan perlumbaan tetapi tidak menamatkannya melalui laluan dan garisan penamat yang sah.
Antara keadaan yang boleh menyebabkan DNF ialah:
- Peserta tidak meneruskan perlumbaan;
- Mengalami kemalangan, kecederaan atau kerosakan basikal;
- Keluar dari trek dan tidak kembali meneruskan perlumbaan;
- Bergerak melawan arah trek;
- Dikeluarkan dari trek atas faktor keselamatan; atau
- Melintasi garisan penamat tanpa menunggang push bike mengikut kaedah yang sah.
Kedudukan peserta berstatus DNF akan ditentukan berdasarkan format pertandingan dan keputusan pihak penganjur.
8.3 DQ – Disqualified
Status DQ – Disqualified boleh dikenakan bagi pelanggaran peraturan yang serius, tindakan berbahaya atau kesalahan yang dilakukan secara berulang.
Antara keadaan yang boleh menyebabkan DQ ialah:
- Menolak, menarik, menghimpit atau menghalang peserta lain dengan sengaja;
- Mengambil jalan pintas untuk mendapatkan kelebihan;
- Menggunakan peserta gantian atau nombor plate milik peserta lain;
- Memberikan maklumat atau dokumen yang tidak benar;
- Menerima bantuan penjaga yang memberikan kelebihan dalam perlumbaan;
- Mengabaikan arahan keselamatan selepas diberikan amaran;
- Melakukan tindakan yang menyebabkan bahaya serius; atau
- Melakukan salah laku yang menjejaskan keadilan dan kelancaran pertandingan.
8.4 Restart
Perlumbaan boleh dihentikan dan dimulakan semula sekiranya berlaku keadaan yang menjejaskan keselamatan atau keadilan pertandingan.
Antara keadaan yang boleh menyebabkan restart ialah:
- Gangguan teknikal pada pintu atau sistem permulaan;
- Kesilapan isyarat atau arahan permulaan;
- Halangan atau objek berbahaya di atas trek;
- Gangguan penonton atau penjaga;
- Kemalangan besar di kawasan permulaan;
- Perubahan cuaca secara tiba-tiba; atau
- Keadaan lain yang dianggap tidak selamat atau tidak adil.
Keputusan untuk meneruskan, menghentikan atau memulakan semula perlumbaan hanya boleh dibuat oleh Ketua Enforcer atau pihak penganjur.
9. PENGADILAN & KEPUTUSAN RASMI
9.1 Ketua Enforcer
Ketua Enforcer bertanggungjawab memastikan setiap perlumbaan dijalankan dengan adil, selamat dan mengikut peraturan serta format yang ditetapkan.
Ketua Enforcer berhak:
- Memberikan arahan kepada peserta, penjaga dan kru;
- Menentukan sama ada sesuatu tindakan merupakan kesalahan;
- Memberikan amaran atau tindakan disiplin;
- Menentukan status DNS, DNF atau DQ;
- Menghentikan atau memulakan semula perlumbaan;
- Membuat semakan keputusan; dan
- Membuat keputusan terhadap situasi yang tidak dinyatakan secara khusus dalam peraturan.
9.2 Enforcer & Kru Bertugas
Enforcer dan kru boleh ditempatkan di kawasan permulaan, sepanjang trek, selekoh, zon penamat dan kawasan lain yang dianggap perlu.
Laporan daripada Enforcer dan kru boleh digunakan oleh Ketua Enforcer sebagai sebahagian daripada proses semakan dan pengadilan.
9.3 Penentuan Kedudukan Garisan Penamat
Kedudukan peserta ditentukan berdasarkan bahagian paling hadapan roda hadapan push bike yang melintasi garisan penamat.
Sekiranya kedudukan peserta terlalu rapat, rakaman rasmi atau sistem Photo Finish boleh digunakan untuk menentukan keputusan.
9.4 Keputusan Seri
Sekiranya rakaman rasmi masih tidak dapat membezakan kedudukan peserta, Ketua Enforcer atau pihak penganjur akan menentukan kaedah penyelesaian yang paling adil berdasarkan format pertandingan.
Kaedah tersebut boleh merangkumi:
- Keputusan pusingan sebelumnya;
- Nombor plate peserta;
- Perlumbaan tambahan; atau
- Kaedah lain yang ditetapkan oleh pihak penganjur.
9.5 Rakaman Rasmi
Rakaman rasmi boleh merangkumi video di kawasan permulaan, sepanjang trek dan garisan penamat.
Rakaman rasmi boleh digunakan untuk membantu semakan terhadap:
- False Start;
- Gangguan teknikal;
- Sentuhan atau perlanggaran;
- Kesalahan di dalam trek;
- Kedudukan garisan penamat; dan
- Insiden lain yang berkaitan.
Rakaman peribadi daripada penjaga atau penonton boleh dilihat sebagai rujukan tambahan, tetapi tidak semestinya diterima sebagai bukti rasmi.
9.6 Pengesahan Keputusan
Keputusan awal boleh diumumkan melalui emcee, paparan keputusan atau urus setia.
Keputusan hanya dianggap rasmi selepas disahkan oleh Ketua Enforcer atau pihak urus setia keputusan.
10. BANTAHAN & PHOTO FINISH
10.1 Tempoh Bantahan
Sebarang bantahan hendaklah dibuat oleh penjaga peserta kepada Ketua Enforcer atau urus setia dalam tempoh 10 minit selepas keputusan diumumkan.
Bantahan hendaklah menyatakan:
- Kategori pertandingan;
- Nama atau nombor plate peserta;
- Pusingan perlumbaan yang terlibat; dan
- Sebab bantahan dengan jelas.
10.2 Kaedah Bantahan
Bantahan hendaklah dibuat secara berhemah tanpa mengganggu perlumbaan yang sedang berlangsung.
Bantahan boleh dibuat secara terus kepada Ketua Enforcer, melalui urus setia atau menggunakan borang rasmi jika disediakan.
Bantahan melalui media sosial, ruangan komen atau kumpulan tidak rasmi tidak dianggap sebagai bantahan rasmi.
10.3 Semakan Garisan Penamat
Sekiranya bantahan melibatkan keputusan garisan penamat, Ketua Enforcer akan membuat semakan berdasarkan rakaman rasmi yang tersedia.
Sekiranya rakaman tidak jelas atau tidak mencukupi, keputusan akan dibuat berdasarkan pemerhatian Ketua Enforcer, laporan kru penamat dan bukti rasmi lain yang tersedia.
10.4 Permohonan Photo Finish
Penjaga yang ingin mendapatkan semakan serta salinan imej Photo Finish boleh membuat permohonan rasmi kepada urus setia.
Bayaran pemprosesan sebanyak RM50.00 bagi setiap permohonan akan dikenakan.
Salinan Photo Finish hanya akan diberikan sekiranya rakaman atau imej rasmi tersedia dan sesuai untuk dikeluarkan.
Keputusan selepas semakan rasmi adalah muktamad.
11. PENYAMPAIAN HADIAH
11.1 Kehadiran Peserta
Peserta yang layak menerima hadiah hendaklah hadir semasa sesi penyampaian hadiah mengikut waktu yang ditetapkan dalam tentatif.
Penjaga bertanggungjawab memastikan peserta berada berhampiran kawasan penyampaian hadiah apabila dipanggil.
11.2 Ketidakhadiran Semasa Penyampaian Hadiah
Sekiranya peserta tidak dapat hadir, penjaga hendaklah memaklumkan kepada urus setia sebelum sesi penyampaian hadiah berakhir.
Hadiah yang tidak dituntut hendaklah diambil sebelum acara tamat, kecuali terdapat persetujuan lain daripada pihak penganjur.
11.3 Penghantaran & Pertukaran Hadiah
Sekiranya pihak penganjur bersetuju membuat penghantaran, kos kurier, pembungkusan atau urusan berkaitan boleh dikenakan kepada penerima.
Hadiah, saiz, warna atau model tidak boleh ditukar kecuali terdapat kerosakan yang disahkan atau persetujuan pihak penganjur.
Hadiah tidak boleh ditukar kepada wang tunai kecuali dinyatakan secara rasmi.
11.4 Pembetulan Keputusan
Sekiranya berlaku pembetulan keputusan selepas hadiah disampaikan, peserta atau penjaga hendaklah memberikan kerjasama untuk memulangkan atau menukar hadiah berdasarkan keputusan rasmi.
12. CUACA & FORCE MAJEURE
12.1 Keutamaan Keselamatan
Keselamatan peserta, penjaga, kru dan penonton akan diberi keutamaan sekiranya berlaku perubahan cuaca atau keadaan luar jangka.
Pihak penganjur berhak:
- Menangguhkan perlumbaan;
- Mempercepatkan jadual;
- Memendekkan atau mengubah trek;
- Mengubah format pertandingan;
- Mengurangkan bilangan pusingan;
- Memindahkan lokasi; atau
- Menghentikan acara.
12.2 Keadaan Luar Jangka
Keadaan luar jangka termasuk tetapi tidak terhad kepada:
- Hujan lebat, ribut atau kilat;
- Banjir atau bencana alam;
- Jerebu atau kualiti udara tidak selamat;
- Wabak penyakit;
- Gangguan bekalan elektrik;
- Kerosakan teknikal;
- Ancaman keselamatan;
- Arahan pihak pengurusan lokasi;
- Arahan pihak berkuasa; atau
- Keadaan lain di luar kawalan munasabah pihak penganjur.
12.3 Force Majeure
Sekiranya pertandingan tidak dapat diteruskan akibat keadaan di luar kawalan munasabah pihak penganjur, perkara tersebut akan dianggap sebagai Force Majeure.
Pihak penganjur akan memaklumkan keputusan dan tindakan selanjutnya melalui saluran rasmi berdasarkan keadaan semasa, komitmen yang telah dibuat serta kos yang telah ditanggung.
12.4 Makluman Perubahan
Perubahan boleh diumumkan melalui:
- Emcee di lokasi;
- WhatsApp Channel rasmi;
- Laman web rasmi;
- E-mel peserta;
- Media sosial rasmi; atau
- Arahan terus daripada kru bertugas.
13. HAK PENYIARAN & MEDIA
13.1 Kebenaran Rakaman
Dengan membuat pendaftaran, penjaga memberikan kebenaran kepada pihak penganjur untuk merakam foto, video, audio atau imej peserta sepanjang acara.
Bahan tersebut boleh digunakan bagi tujuan:
- Promosi pertandingan;
- Dokumentasi acara;
- Laporan program;
- Media sosial;
- Laman web;
- Bahan pemasaran; dan
- Hebahan acara akan datang.
Penggunaan tersebut boleh dibuat tanpa bayaran royalti atau tuntutan pampasan daripada peserta atau penjaga.
13.2 Rakaman oleh Penjaga & Penonton
Rakaman peribadi dibenarkan selagi tidak mengganggu peserta, menutup pandangan kru, menghalang laluan atau memasuki kawasan terkawal.
Pihak penganjur berhak meminta rakaman dihentikan atau individu berpindah sekiranya aktiviti tersebut mengganggu keselamatan dan kelancaran acara.
13.3 Rakaman Komersial
Rakaman profesional, siaran langsung komersial, temu bual rasmi atau penggunaan imej acara bagi tujuan perniagaan memerlukan kelulusan bertulis daripada pihak penganjur.
Penggunaan nama, logo, keputusan atau bahan rasmi Push Bike Pro tanpa kebenaran adalah tidak dibenarkan.
13.4 Penggunaan Kandungan
Rakaman tidak boleh digunakan untuk memfitnah, membuli, memalukan peserta atau menjejaskan reputasi mana-mana individu, pasukan, pihak penganjur atau rakan kerjasama.
14. HAK PENGANJUR
14.1 Kuasa Penganjur
Pihak penganjur berhak:
- Menolak penyertaan yang tidak memenuhi syarat;
- Meminta dokumen pengesahan peserta;
- Memindahkan peserta ke kategori yang betul;
- Menggabungkan, mengubah atau membatalkan kategori;
- Mengubah heat, grid, format atau bilangan pusingan;
- Mengubah jadual, trek atau lokasi;
- Menangguhkan atau menghentikan perlumbaan;
- Mengeluarkan peserta atau penjaga yang melanggar peraturan;
- Membetulkan keputusan sebelum pengesahan rasmi; dan
- Membuat keputusan terhadap perkara yang tidak dinyatakan secara khusus dalam garis panduan ini.
14.2 Pindaan Peraturan
Pihak penganjur berhak meminda, menambah atau menyesuaikan peraturan berdasarkan keperluan operasi, keselamatan dan keadilan pertandingan.
Perubahan besar akan dimaklumkan melalui saluran rasmi apabila keadaan mengizinkan.
Pindaan kecil atau arahan operasi boleh diumumkan semasa taklimat, melalui emcee atau secara terus oleh kru di lokasi.
14.3 Keputusan Muktamad
Semua keputusan akan dibuat dengan mengambil kira keselamatan, keadilan, semangat kesukanan dan kelancaran pertandingan.
Keputusan pihak penganjur atau Ketua Enforcer adalah muktamad selepas proses semakan dan bantahan rasmi selesai.
15. PENUTUP & MAKLUM BALAS
Garis panduan ini disediakan untuk membantu peserta, penjaga, pasukan, kru dan pihak berkepentingan memahami perjalanan pertandingan dengan lebih jelas.
Kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan pertandingan di bawah kelolaan Push Bike Pro berlangsung dengan selamat, teratur, adil dan positif.
Maklum Balas & Pertanyaan
E-mel: pushbikepro@gmail.com
Talian rasmi: 019-332 9269
Terima kasih atas kerjasama semua peserta, penjaga, pasukan, rakan kerjasama, penaja dan pihak berkepentingan dalam menjayakan pertandingan di bawah kelolaan Push Bike Pro.
